Pages

Monday 11 January 2010

JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN: KALIMAH ALLAH KHUSUS UNTUK ISLAM

Di bawah ini dipetik keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengenai isu tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja, yang saya dapati dari blog Waadat:
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah.
Bil. Muzakarah : Kali Ke-82
Tarikh : 5 Hingga 7 Mei 2008
Tempat : Holiday Villa Hotel & Suites, Alor Star, Kedah

1) Ulasan/Hujah
Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverend Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.
Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.
Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.
Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.
Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.
Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.
Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.
Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.
Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri supaya kesucian agama dan akidah umat Islam dapat dipertahankan.
Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.
Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.
Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam.
Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.
2) Keputusan
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.
Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan di atas adalah jelas sejelas-jelasnya dan tidak perlu diulas lanjut. DYMM Yang Di Pertuan Agong  telah  juga mengeluarkan kenyataan pada 8 Januari lalu yang selari dengan keputusan Jawatankuasa ini.

Soalannya, jika keputusan ini telah dibuat sebelum pihak gereja mengemukakan tuntutannya ke Mahkamah, mengapa pihak tersebut masih beriya-iya menuntut penggunaan kalimah Allah dalam penerbitannya? Sudah banyak blog yang menyoal motif sebenar pihak gereja. Dalam suasana di negara yang masih tegang akibat tuntutan gereja, tentu sekali tidak wajar bagi sesiapa untuk menunding jari atau menuduh tanpa bukti kukuh. Namun, motif sebenar atau tersirat pihak gereja terus menjadi tanda tanya.

Pada akhirnya, jalan terbaik untuk menangani isu yang sangat sensitif ini adalah diplomasi. Itu pun, jangan sekali-kali berkompromi tentang penggunaan kalimah Allah. Ia tetap khusus dan mutlak bagi agama dan umat Islam.

No comments:

Post a Comment

Please adhere to proper blog etiquette when posting your comments. This blog owner will exercise his absolution discretion in allowing or rejecting any comments that are deemed seditious, defamatory, libelous, racist, vulgar, insulting, and other remarks that exhibit similar characteristics. If you insist on using anonymous comments, please write your name or other IDs at the end of your message.