Pages

Thursday 7 January 2010

UNTUK DIBACA: "PERTIMBANGAN ILMIAH POLEMIK PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH AGAMA KRISTIAN"



Walaupun Mahkamah Tinggi telah menangguhkan keputusan membenarkan mingguan Katholik "Herald" menggunakan kalimah Allah, dan pihak Kerajaan telah merayu tidak menghangatkan isu ini lagi, polemik mengenainya jelas masih berterusan. Saya percaya ia tidak akan berhenti selagi isu ini tidak mencapai penyelesaian yang mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara serta menjaga sensitiviti umat Islam dan keharmonian pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Dalam hal ini, saya memetik di bawah ini sebuah tulisan yang diterima melalui email dari seorang rakan, untuk tatapan dan renungan kita bersama:

"PERTIMBANGAN ILMIAH POLEMIK PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH AGAMA KRISTIAN

1. Syariah secara umum merujuk kepada maksud memelihara agama. Sekiranya penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja di dalam kitab-kitab pengajaran agama Kristian terbitan gereja-gereja ini dibenarkan mendorong kitab tersebut mudah dibaca oleh individu Muslim. Adalah suatu yang amat drastik untuk menyatakan ia mendorong mereka meninggalkan agama Islam, mencetuskan kekeliruan akidah, kerana berpendapat bahawa Tuhan adalah sama. Pun begitu, kebimbangan seumpama ini adalah berasas seandainya individu Muslim tersebut kurang mendapat pendidikan agama dan sikap toleransi beragama yang amat tinggi memangkinkan kemungkinan sedemikian. Sehubungan itu, pencegahan adalah lebih baik daripada isu ini terus berkembang. Apatah lagi menurut kaedah fiqh, kemudaratan adalah wajar dicegah.

2. Umat Muslim wajib melafazkan perakuan keimanannya secara formal, iaitu La Ilaha Illa Allah yang bermaksud "Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah" dan Muhammadur Rasulullah, yang bermaksud "Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah". Umat Muslim tidak melafazkannya dengan sewenangnya seperti “Tuhan yang saya sembah adalah Allah” atau “Allah adalah Tuhan saya”. Ini menjelaskan bahawa seseorang Muslim tegas membuat perakuan ketuhanan mereka dalam bentuk negatif iaitu menegaskan perakuan kewujudan satu Tuhan yang Esa yang dinamakan dan dirujuk sebagai Allah di atas penafian tuhan-tuhan lain. Unsur penafian tuhan-tuhan lain  inilah yang menjadi tunjang konsep ketuhanan dalam Islam iaitu ketauhidan. Ini merupakan intipati Tauhid iaitu penegasan pengesaan Allah dalam konsep ketuhanan Islam yang dititikberatkan dalam aqidah Islam.

3. Istilah “Allah” dan bukannya “Tuhan” digunakan oleh umat Islam untuk mengelakkan dari makna-makna lain yang tidak dikehendaki seperti: (i) Tuhan yang tidak beridentiti (fahaman pantheisme, iaitu Tuhan adalah segala-galanya dan segala-galanya adalah Tuhan); (ii) Tuhan sebagai entiti yang tidak mutlak dan kabur (pandangan idealist); (iii) Tuhan sebagai sifat makhluk (yang mempunyai gender, perlu memenuhkan kehendak-kehendak biologi (makan, minum, berkeluarga); (iv) Tuhan yang mempunyai kehendak sosial - berkawan, berkelompok, berpolitik, beragama dan sebagainya; (v) Tuhan sebagai satu bentuk manifestasi atau jelmaan, iaitu yang dijelmakan dalam bentuk objek-objek yang dapat dilihat, dan (vi) Tuhan yang diangkat menjadi Tuhan iaitu asalnya bukan Tuhan, (seperti harta benda, kekayaan, sanjungan, kedudukan). Kesemua sifat-sifat ini tidak tulen dan bukan ciri ketuhanan yang dikehendaki.

4. Dari struktur nahu dan linguistik Arab, istilah Allah itu secara mutlak bererti  “Tuhan yang satu dan satu-satunya”, adalah satu nama khas dan bukan ganti nama. Allah tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain. Perkataan “Tuhan” sebagai bukan nama khas adalah “Ilah” dan bukannya Allah. Allah adalah nama khas bagi Tuhan yang identitinya adalah keesaan. Sekiranya kita menggunakan perkataan “Tuhan”, ianya boleh diumumkan dan boleh dibanyakkan dengan menggantikan "T" besar dengan 't' kecil. Antara contohnya adalah memanusiakan pengertiannya seperti “godfather”, “godmother”; atau mewanitakannya atau memperempuankannya dengan "goddess", atau memperkecilkannya dengan 'godling'. Ini bererti istilah “Allah” adalah kata nama khas. Justeru kita tidak boleh memanupulasikannya dengan cara apa sekalipun dalam bahasa asalnya (Ahmad Deedat, 1981 : 33). Jelaslah dari segi linguistik istilah “Allah” adalah lebih superior daripada apa jua istilah dan dari apa jua bahasa dalam mempertahankan dan memelihara makna keesaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak disembah.


Selain daripada itu, istilah Allah adalah mushtaq iaitu kata nama khas. Ini kerana sekiranya istilah Allah digandingkan dengan istilah “Ya” dalam bahasa Arab bermaksud kata seruan iaitu “Wahai”, istilah Allah tetap kekal. Huruf Alif, Lam dan Lam sebagai konotasi nama khas tidak boleh dibuang. Ia tidak boleh disebut sebagai “Ya Lahu”. Ini berbeza dengan kalimah “Al-Rahman” iaitu antara sifat Allah iaitu pengasih/penyayang. Apabila digandingkan dengan istilah “Ya” Alif Lam makrifah (kata nama khas) wajar dibuang dan menjadikan “Ya Rahman”. Ini membuktikan bahawa istilah Allah adalah kata nama khas atau mushtaq.

5. Surah Al-Ikhlas membahaskan mengenai konflik yang berlaku dalam kalangan masyarakat penganut agama ketika itu. Masing-masing mendakwa bahawa agama mereka menyembah Allah. Persoalannnya siapakah sebenarnya Allah yang dituturkan dan disembah oleh agama-agama tersebut? Adakah ia tepat dan benar dengan konsep “Allah” yang dirujuk sebagai Tuhan sembahan mereka? Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata Ikrimah berhubung faktor sabab al-nuzul (sebab turunnya ayat) tersebut:

Ikrimah:  “Ketika orang Yahudi mengatakan: "Kami menyembah U'zair anak Allah. Orang Nasrani menyatakan: ”Kami menyembah Al-Masih anak Allah. Majusi mengatakan: ”Kami menyembah matahari dan bulan. Orang Musyrikin pula mengatakan: "Kami menyembah berhala". Lalu Allah swt menurunkan ke atas Rasulullah SAW Surah Al-Ikhlas yang bermaksud; “Katakanlah wahai Muhammad bahawa Allah itu Esa, Allah itu tempat bergantung segala makhlukNya, Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan dan Allah itu tiada bagiNya sekutu”.
6. Walaupun bahasa Melayu/Malaysia telah digunapakai oleh Penganut Kristian di Malaysia sekian lama tetapi asal perkataan Tuhan/God yang digunakan di dalam ”Original Bible” adalah dalam bahasa Ibrani (Hebrew). Oleh itu ianya harus di panggil sebagai Yahweh atau Yahuwa atau pelbagai lagi yang merujuk kepada Tuhan dalam Kristian dan bukannya Allah seperti di dalam bahasa Arab.  Ini adalah kerana perkataan Allah adalah daripada bahasa Arab yang digunapakai khusus di dalam Kitab Suci Umat Islam iaitu Al-Qur’an. Wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad (The last Prophet) iaitu Kalam Allah (Word of God) sehingga kepada proses penulisan Kitab Suci Al-Qur’an adalah juga di dalam Bahasa Arab. Sehingga kini dan di mana jua Kitab Suci Al-Qur’an berada ia masih tetap di dalam bahasa Arab.  Tetapi kitab Injil (Bible) mempunyai pelbagai versi dan juga bahasa yang menyebabkan berlaku ketidak seragaman penggunaan perkataan dan kekaburan mengenai konsep ketuhanan yang cuba mereka sampaikan.

7. Masyarakat Kristian tidak tahu nama sebenar tuhan mereka. Jika ditanyakan kepada penganut agama Kristian, maka pelbagai jawapan yang diberikan. Sebahagian akan merujuk kepada Jesus atau Yesus (Indonesia) sebagai Tuhan, sebahagian lagi merujuk kepada Jeremiah, atau kepada Yehuwa atau Yahweh atau Jehovah, dan segolongan lagi merujuk kepada Allah. Tidak terdapat satu pun istilah yang menepati dan merujuk kepada Tuhan di dalam Bible penganut Kristian. Jalan yang mudah adalah dengan menumpang guna nama Tuhan yang sering digunakan oleh masyarakat setempat, dan di dalam kes ini menumpang kalimah Allah yang dikhususkan kepada umat yang mengimani Allah S.W.T (Islam). Sesungguhnya kita boleh menghujahkan bahawa ketiadaan nama khas Tuhan di dalam Bible adalah bercanggah dengan sifat Tuhan yang Maha Mengetahui. Bukankah Tuhan mencipta manusia supaya dia mengenal dan menyembah-Nya? Tetapi siapakah yang disembah oleh manusia sekiranya dia tidak kenal siapa Tuhan yang menciptanya.

8. Konsep tuhan dalam agama Kristian adalah kabur, contohnya Jesus digambarkan sebagai salah satu tuhan dalam konsep Triniti yang mempunyai sifat-sifat manusia (contoh: Great Shepherd of the Sheep (Peter 5:4), King of Kings (Revelation 17:4), The Bridegroom (Luke 5:34-35), Chief Corner Stone, High Priest (Heb 7:26), etc.). Selain itu Jesus juga mempunyai sifat-sifat manusia yang sebenar seperti dilahirkan oleh Mary, berketurunan dari David (contoh: I’m the offspring of David - (Revelation 22:16). Sedangkan Allah di dalam Islam sebagaimana yang nyatakan di dalam Al-Qu’an , Surah Al-Ikhlas (112:1-5)  ”Katakanlah: Dialah Allah, Yang Maha Esa”. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada diperanakkan. Dan tidak seorangpun yang setara denganNya”. Jelas di sini bahawa ”Tuhan” Islam bukanlah ”Tuhan” Kristian. Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa yang kepada-Nya pengabdian wajib diserahkan, maha suci lagi maha murni yang nyata tiada taranya dengan khalayak makhluk-Nya. Allah tidak mungkin difahami sebagai memiliki anak atau bapa kerana itu akan memasukkan sifat benda bernyawa dalam kefahaman kita mengenai-Nya; sifat-sifat dan hakikat-Nya tunggal tersendiri dan tiada taranya.

9. Masyarakat Islam di seluruh dunia beribadat menggunakan bahasa Arab seperti di dalam Solat, membaca Al-Qur’an, berdoa dll dan bukan menggunakan terjemahannya seperti yang digunakan masyarakat Kristian. Seharusnya masyarakat Kristian menggunakan Bahasa Asal Kitab Injil (Bible) iaitu Ibrani (Hebrew) terutama dalam amalan agama. Dan terutama sekali penggunakan perkataan Tuhan iaitu Yahweh atau Yahuwa dan bukannya Allah. Dan sekiranya masyarakat Kristian Malaysia tetap  menegaskan bahawa masyarakat Arab-Kristian merujuk Tuhan mereka sebagai Allah, mengapa mereka tidak menggunakan terjemahan Bible di dalam bahasa Arab sahaja?


10. Dalam Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam 1998 menyatakan bahawa adalah satu kesalahan sekiranya terdapat mana-mana orang sama ada Islam atau Bukan Islam mengunakan kalimah Allah dalam memperihalkan kepercayaan sesuatu agama bukan Islam. Walaupun dikatakan ia diterbitkan dan diedarkan kepada hanya masyarakat Kristian tetapi maklumat ini juga boleh di akses melalui internet iaitu melalui  laman web Herald dan secara tidak langsung membuka ruang kepada masyarakat Islam untuk terdedah dengan maklumat tersebut.

Berasaskan perbincangan tersebut, membuktikan bahawa rujukan kalimah Allah yang digunapakai oleh para penganut selain Muslim adalah amat jauh berbeza dengan maksud kalimah Allah yang diyakini oleh Islam. Islam menegaskan ketauhidan Allah dan agama-agama lain mempunyai konsep yang berbeza iaitu keyakinan terhadap ketuhanan tuhan yang satu. Apabila disebut sebagai satu, pastinya ia dimulai dengan angka sifar dan dilanjutkan dengan angka yang seterusnya. Oleh itu adalah suatu yang tidak wajar sekiranya kalimah Allah ini digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa memahami realiti maksud kalimah tersebut yang merujuk kepada zat Allah yang agung dan Maha Esa. Analisis berhubung Surah Al-Ikhlas ini akan dibahaskan lebih mapan lagi dalam perbincangan selanjutnya.

Tuntasnya, kalimah Allah bukanlah satu kalimah yang sekadar menjadi sebutan atau seruan atau panggilan bagi tuhan semata-mata. Sebaliknya ia merupakan nama yang melambangkan aqidah atau agama bagi individu yang melafazkan kalimah tersebut. Oleh itu penggunaannya amat wajar dipantau dan dipelihara oleh kerajaan demi memastikan tiada sesiapa yang terkeliru dengan nama Allah Yang Maha Esa dan Yang Maha Agung. Justeru, keputusan kerajaan untuk mengekalkan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bukan Islam, sebagaimana yang telah diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Oktober dan 1 November 2006 adalah amat bertepatan dan tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Bahkan penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah telah pun diwartakan hanya eksklusif buat umat Muslim sahaja di bawah Warta PU (A) 15/82 dan pekeliling KKDN. S.59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986.

Namun, biarpun berbagai penjelasan dikemukakan, pihak gereja begitu tegas untuk terus menggunakan kalimah Allah ini. Antaranya yang telah turut lama menggunakan istilah Allah adalah Gereja Timur yang sering dikaitkan sebagai antara gereja yang menyakini unitarian iaitu Tuhan adalah satu. Justeru, sejauh mana benarnya penggunaan kalimah Allah dalam konsep unitarian tersebut dengan kalimah Allah dalam konsep Tauhid dalam Islam wajar diperhalusi secara ilmiah.

Untuk makluman terdapat satu lagi organisasi Kristian di Malaysia yang sama turut menfailkan tuntutan untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka iaitu Sidang Injil Borneo (SIB). Walaupun berlainan organisasi tetapi matlamat mereka adalah sama. Ia dijangka dibahas pada bulan Januari ini juga. Jika keputusan hakim tetap sama iaitu membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam rayuan yang dibuat oleh KDN pada hari ini (6 Januari 2010) maka akan lebih mudah masyarakat Islam terdedah dengan kekeliruan dan dakyah daridapa penerbitan agama Kristian terutama kepada masyarakat Islam yang tidak mempunyai ilmu agama dan akidah yang kuat."

Perenggan akhir tulisan di atas mendedahkan pemfailan tuntutan yang sama seperti Herald oleh Sidang Injil Borneo. Saya belum dapat mengesan berita tentang pemfailan baru ini. Harap para blogger dapat bekerjasama membongkarkan perkara ini.

Saya berharap rakan-rakan blogger sebarkan tulisan ini di dalam blog mereka untuk manfaat kita bersama.

Sementara ini, satu kempen tandatangan petisyen bantahan penggunaan kalimah Allah oleh "Herald" telah dimulakan oleh PPIM (beberapa blog telah pun mengedarkannya). Klik di sini untuk mengambil bahagian.

2 comments:

  1. Assalamualaikum saudara,

    Terima kasih atas komen dan kesudian saudara memasukkan blog saya di dalam blog list saudara. Saya telah pun memasukkan blog saudara ke dalam blog list saya dan juga menjadi follower saudara.

    Memang benar kata saudara. Dalam keadaan di mana orang Islam di negara tercinta ini sedang berpecah-belah dan lemah, inilah masanya untuk semua orang Islam, tak kira apa pegangan politik, merapatkan saf dan menunjukkian kemampuan menghadapi musuh-musuh sebagai satu ummah yang kuat. Malang sungguh orang Islam kita terus bercakaran walhal mereka lupa bahawa mereka menganuti agama yang menganggap orang Islam itu bersaudara dan melarang memusuhi antara satu lama lain.

    ReplyDelete
  2. bolehkah perkataan God diguna untuk org Islam?

    ReplyDelete

Please adhere to proper blog etiquette when posting your comments. This blog owner will exercise his absolution discretion in allowing or rejecting any comments that are deemed seditious, defamatory, libelous, racist, vulgar, insulting, and other remarks that exhibit similar characteristics. If you insist on using anonymous comments, please write your name or other IDs at the end of your message.