Pages

Wednesday 26 May 2010

PENYERAHAN TANAH KTMB

Apabila isteri saya memberitahu berita di TV3 semalam bahawa Perdana Menteri DS Najib telah menyerahkan tanah negara KTMB di Singapura, beliau, sebagai orang Johor, bukan saja sedih tetapi juga amat marah. Hari ini saya ambil kesempatan menanya rakan-rakan di sekitar kawasan kediaman saya di Johor Bahru tentang berita ini. Di kedai runcit dan restoran telah kedengaran pelbagai reaksi. Mereka turut rasa kecewa dan marah (bak kata orang putih, "they went ballistic!"). Tak perlulah saya tuliskan apa yang mereka luahkan selanjutnya kerana banyak perkataan yang tidak sedap didengar!

Berikut adalah laporan dari Utusan Malaysia mengenai apa yang diberitakan oleh TV3 itu:
SINGAPURA 24 Mei - Malaysia dan Singapura hari ini bersetuju stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) di Tanjong Pagar di sini akan berpindah ke Terminal Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) pada 1 Julai 2011, seperti yang termaktub dalam perjanjian Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perpindahan tersebut turut melibatkan pemindahan kemudahan Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) Malaysia juga dari Tanjong Pagar ke Woodlands, yang juga satu lagi perjanjian dalam POA, yang ditandatangani pada 27 November 1990.
Katanya, kedua-dua negara turut sekata untuk membangunkan sebuah perkhidmatan rel pantas atau sistem transit pantas (rapid transit system, RTS) secara bersama bagi menghubungkan Woodlands di sini dan Tanjung Puteri di Johor Bahru, yang bakal beroperasi menjelang 2018.
"Apabila, RTS itu dapat beroperasi dengan sempurna, Malaysia boleh menimbangkan untuk memindahkan stesen KTMB dan CIQ Malaysia di Woodlands ke terminal baru kereta api di Johor Bahru selepas itu," tambah beliau pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong di sini hari ini.
Laporan dari The New Straits Times mengenai perkara yang sama boleh dibaca di sini.

Beberapa blog telah memberi pendapat mereka. Ada yang menentang (seperti  Apa Yang Tersirat dan Pena Minang) dan ada yang tidak (seperti Op Ed dan Nuraina A Samad). Pembaca bolehlah membaca pendapat mereka di link-link yang diberi. 

Mengikut blog Jebat Must Die, pada asasnya stesyen KTM dan tanah dari Tanjong Pagar akan dipindahkan ke Woodlands. Pada tahun 2018, Malaysia akan meninggalkan terus Singapura kerana stesyen KTM akan berpindah terus ke Tanjung Putri di Johor. Blog itu menyoal, adakah Malaysia akan mendapat pampasan yang adil dalam pemindahan tanah tersebut? Adakah tindakan strategik ini akan menguntungkan Malaysia lebih dari Singapura? Jawapannya, mengikut blog tersebut, boleh didapat di dalam butir-butir iaitu butir perjanjian Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA).

Kita tidak tahu apa sebenarnya yang terkandung di dalam perjanjian POA selain dari apa yang disiarkan dalam media. Lebih penting, kita tidak tahu apa yang tersirat. Rujuk kepada blog Pure Shiite tentang hal ini.

Dalam laporan Utusan di atas, DS Najib berkata, "Apabila, RTS itu dapat beroperasi dengan sempurna, Malaysia boleh menimbangkan untuk memindahkan stesen KTMB dan CIQ Malaysia di Woodlands ke terminal baru kereta api di Johor Bahru selepas itu." Jika diteliti kenyataan beliau ini, ia menggambarkan seolah-oleh Malaysia akan "diusirkan" (atau "ditendang" kalau nak gunakan kata kasar) secara perlahan dan terhormat keluar dari Singapura. Perkataan "menimbangkan" hanyalah kata pelembut yang tidak membawa apa-apa makna. Pada akhirnya, tanah negara kita tidak akan wujud lagi di Singapura.

Ada yang berpendapat perjanjian POA tersebut akan menguntungkan Malaysia (rujuk blog Op Ed di atas). Jika benar, mengapa Malaysia di bawah Tun Mahathir (atau PM-PM sebelumnya) tidak mengambil kira faktor ini sepanjang isu ini wujud sejak Singapura keluar dari Malaysia? Mengapa Tun atau PM-PM sebelumnya tidak terus menandatangani perjanjian dengan Singapura dan sekali gus menyelesaikan masalah ini? Tidak perlulah menunggu hingga DS Najib naik menjadi PM untuk menyelesaikannya. Tun dan PM-PM sebelumnya mengekal dan mempertahankan tanah KTM kerana ia milik negara, ia melibatkan kedaulatan dan kepentingan negara. Ini bukan soal untung-rugi atau menang-menang. Mana ada negara yang menyerahkan tanah miliknya dengan sewenangnya kepada negara lain? 


Kita juga perlu ingat, perjanjian bukanlah  sesuatu yang "foolproof". Satu pihak boleh mengingkarinya jika ia mahu dan pada bila-bila masa. Memandangkan sejarah perhubungan Malaysia-Singapura yang kita sudah sedia maklum serta sikap pemimpin dan penduduk Singapura terhadap Malaysia, bolehkah kita mempercayai janji-janji dari pihak Singapura? Apa jaminan yang Singapura akan menepati janjinya? Apakah niat tersirat di sebelah pihak Singapura?

Apa pun, PM perlulah bersikap telus dalam hal ini dan tidak berselidung di sebalik kata-kata gula seperti "menang-menang," seperti yang berlaku dalam penyerahan Blok L dan M kepada Brunei di zaman Pak Lah.  Yang tidak menyenangkan ialah perjanjian telah pun dibuat dan ia membawa reaksi penduduk Johor Bahru, iaitu sekurang-kurangnya di sekitar kawasan saya, yang sangat mengecewakan. Seperti yang disebut di perenggan 1 di atas, apa yang mereka
katakan tidak sedap didengar. Dan kata-kata ini ditujukan kepada Perdana Menteri kita! 1Malaysia sudah tidak kedengaran langsung!

2 comments:

  1. kalau majupun tempat tu....malaysia ada saham 60 peratus....kan kita masih majoriti...??
    akal ada..?

    ReplyDelete

Please adhere to proper blog etiquette when posting your comments. This blog owner will exercise his absolution discretion in allowing or rejecting any comments that are deemed seditious, defamatory, libelous, racist, vulgar, insulting, and other remarks that exhibit similar characteristics. If you insist on using anonymous comments, please write your name or other IDs at the end of your message.