Pages

Friday, January 15, 2010

AWAS! BLOG YANG MENGHINA ISLAM DAN NABI MUHAMMAD

Seorang pemberi komen di dalam blog Gelagat Anwar telah mendedahkan satu blog yang jelas menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Blog ini bertajuk "Berita Muslim Sahih" dan boleh di layari di sini.

Antara tulisan yang menghina terdapat dalam postingnya yang bertajuk "3 Bukti Logis & Faktual Allah swt Bukan Tuhan," yang mengandungi penghinaan seperti:
  1. Allah bukan Tuhan yang disembah orang Islam.
  2. Menyamakan Allah dengan batu (iaitu batu hajar aswad).
  3. Allah disebut sebagai "awloh".
  4. Bila orang Islam bersolat ke arah Kiblat, mereka menyembah kaum Quraish.
  5. ...dan banyak lagi penghinaan.
Bahasa dan gaya tulisan pemilik blog ini menunjukkan dia orang Indonesia atau lokasi blog itu terletak di Indonesia.

Harap para blogger Islam turut mendedahkan blog yang sesat ini, dan pihak berkuasa agama Islam mengambil tindakan yang sewajarnya.

Monday, January 11, 2010

JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN: KALIMAH ALLAH KHUSUS UNTUK ISLAM

Di bawah ini dipetik keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengenai isu tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja, yang saya dapati dari blog Waadat:
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah.
Bil. Muzakarah : Kali Ke-82
Tarikh : 5 Hingga 7 Mei 2008
Tempat : Holiday Villa Hotel & Suites, Alor Star, Kedah

1) Ulasan/Hujah
Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverend Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.
Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.
Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.
Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.
Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.
Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.
Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.
Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.
Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri supaya kesucian agama dan akidah umat Islam dapat dipertahankan.
Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.
Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.
Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam.
Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.
2) Keputusan
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.
Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan di atas adalah jelas sejelas-jelasnya dan tidak perlu diulas lanjut. DYMM Yang Di Pertuan Agong  telah  juga mengeluarkan kenyataan pada 8 Januari lalu yang selari dengan keputusan Jawatankuasa ini.

Soalannya, jika keputusan ini telah dibuat sebelum pihak gereja mengemukakan tuntutannya ke Mahkamah, mengapa pihak tersebut masih beriya-iya menuntut penggunaan kalimah Allah dalam penerbitannya? Sudah banyak blog yang menyoal motif sebenar pihak gereja. Dalam suasana di negara yang masih tegang akibat tuntutan gereja, tentu sekali tidak wajar bagi sesiapa untuk menunding jari atau menuduh tanpa bukti kukuh. Namun, motif sebenar atau tersirat pihak gereja terus menjadi tanda tanya.

Pada akhirnya, jalan terbaik untuk menangani isu yang sangat sensitif ini adalah diplomasi. Itu pun, jangan sekali-kali berkompromi tentang penggunaan kalimah Allah. Ia tetap khusus dan mutlak bagi agama dan umat Islam.

Thursday, January 7, 2010

UNTUK DIBACA: "PERTIMBANGAN ILMIAH POLEMIK PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH AGAMA KRISTIAN"



Walaupun Mahkamah Tinggi telah menangguhkan keputusan membenarkan mingguan Katholik "Herald" menggunakan kalimah Allah, dan pihak Kerajaan telah merayu tidak menghangatkan isu ini lagi, polemik mengenainya jelas masih berterusan. Saya percaya ia tidak akan berhenti selagi isu ini tidak mencapai penyelesaian yang mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara serta menjaga sensitiviti umat Islam dan keharmonian pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Dalam hal ini, saya memetik di bawah ini sebuah tulisan yang diterima melalui email dari seorang rakan, untuk tatapan dan renungan kita bersama:

"PERTIMBANGAN ILMIAH POLEMIK PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH AGAMA KRISTIAN

1. Syariah secara umum merujuk kepada maksud memelihara agama. Sekiranya penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja di dalam kitab-kitab pengajaran agama Kristian terbitan gereja-gereja ini dibenarkan mendorong kitab tersebut mudah dibaca oleh individu Muslim. Adalah suatu yang amat drastik untuk menyatakan ia mendorong mereka meninggalkan agama Islam, mencetuskan kekeliruan akidah, kerana berpendapat bahawa Tuhan adalah sama. Pun begitu, kebimbangan seumpama ini adalah berasas seandainya individu Muslim tersebut kurang mendapat pendidikan agama dan sikap toleransi beragama yang amat tinggi memangkinkan kemungkinan sedemikian. Sehubungan itu, pencegahan adalah lebih baik daripada isu ini terus berkembang. Apatah lagi menurut kaedah fiqh, kemudaratan adalah wajar dicegah.

2. Umat Muslim wajib melafazkan perakuan keimanannya secara formal, iaitu La Ilaha Illa Allah yang bermaksud "Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah" dan Muhammadur Rasulullah, yang bermaksud "Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah". Umat Muslim tidak melafazkannya dengan sewenangnya seperti “Tuhan yang saya sembah adalah Allah” atau “Allah adalah Tuhan saya”. Ini menjelaskan bahawa seseorang Muslim tegas membuat perakuan ketuhanan mereka dalam bentuk negatif iaitu menegaskan perakuan kewujudan satu Tuhan yang Esa yang dinamakan dan dirujuk sebagai Allah di atas penafian tuhan-tuhan lain. Unsur penafian tuhan-tuhan lain  inilah yang menjadi tunjang konsep ketuhanan dalam Islam iaitu ketauhidan. Ini merupakan intipati Tauhid iaitu penegasan pengesaan Allah dalam konsep ketuhanan Islam yang dititikberatkan dalam aqidah Islam.

3. Istilah “Allah” dan bukannya “Tuhan” digunakan oleh umat Islam untuk mengelakkan dari makna-makna lain yang tidak dikehendaki seperti: (i) Tuhan yang tidak beridentiti (fahaman pantheisme, iaitu Tuhan adalah segala-galanya dan segala-galanya adalah Tuhan); (ii) Tuhan sebagai entiti yang tidak mutlak dan kabur (pandangan idealist); (iii) Tuhan sebagai sifat makhluk (yang mempunyai gender, perlu memenuhkan kehendak-kehendak biologi (makan, minum, berkeluarga); (iv) Tuhan yang mempunyai kehendak sosial - berkawan, berkelompok, berpolitik, beragama dan sebagainya; (v) Tuhan sebagai satu bentuk manifestasi atau jelmaan, iaitu yang dijelmakan dalam bentuk objek-objek yang dapat dilihat, dan (vi) Tuhan yang diangkat menjadi Tuhan iaitu asalnya bukan Tuhan, (seperti harta benda, kekayaan, sanjungan, kedudukan). Kesemua sifat-sifat ini tidak tulen dan bukan ciri ketuhanan yang dikehendaki.

4. Dari struktur nahu dan linguistik Arab, istilah Allah itu secara mutlak bererti  “Tuhan yang satu dan satu-satunya”, adalah satu nama khas dan bukan ganti nama. Allah tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain. Perkataan “Tuhan” sebagai bukan nama khas adalah “Ilah” dan bukannya Allah. Allah adalah nama khas bagi Tuhan yang identitinya adalah keesaan. Sekiranya kita menggunakan perkataan “Tuhan”, ianya boleh diumumkan dan boleh dibanyakkan dengan menggantikan "T" besar dengan 't' kecil. Antara contohnya adalah memanusiakan pengertiannya seperti “godfather”, “godmother”; atau mewanitakannya atau memperempuankannya dengan "goddess", atau memperkecilkannya dengan 'godling'. Ini bererti istilah “Allah” adalah kata nama khas. Justeru kita tidak boleh memanupulasikannya dengan cara apa sekalipun dalam bahasa asalnya (Ahmad Deedat, 1981 : 33). Jelaslah dari segi linguistik istilah “Allah” adalah lebih superior daripada apa jua istilah dan dari apa jua bahasa dalam mempertahankan dan memelihara makna keesaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak disembah.


Selain daripada itu, istilah Allah adalah mushtaq iaitu kata nama khas. Ini kerana sekiranya istilah Allah digandingkan dengan istilah “Ya” dalam bahasa Arab bermaksud kata seruan iaitu “Wahai”, istilah Allah tetap kekal. Huruf Alif, Lam dan Lam sebagai konotasi nama khas tidak boleh dibuang. Ia tidak boleh disebut sebagai “Ya Lahu”. Ini berbeza dengan kalimah “Al-Rahman” iaitu antara sifat Allah iaitu pengasih/penyayang. Apabila digandingkan dengan istilah “Ya” Alif Lam makrifah (kata nama khas) wajar dibuang dan menjadikan “Ya Rahman”. Ini membuktikan bahawa istilah Allah adalah kata nama khas atau mushtaq.

5. Surah Al-Ikhlas membahaskan mengenai konflik yang berlaku dalam kalangan masyarakat penganut agama ketika itu. Masing-masing mendakwa bahawa agama mereka menyembah Allah. Persoalannnya siapakah sebenarnya Allah yang dituturkan dan disembah oleh agama-agama tersebut? Adakah ia tepat dan benar dengan konsep “Allah” yang dirujuk sebagai Tuhan sembahan mereka? Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata Ikrimah berhubung faktor sabab al-nuzul (sebab turunnya ayat) tersebut:

Ikrimah:  “Ketika orang Yahudi mengatakan: "Kami menyembah U'zair anak Allah. Orang Nasrani menyatakan: ”Kami menyembah Al-Masih anak Allah. Majusi mengatakan: ”Kami menyembah matahari dan bulan. Orang Musyrikin pula mengatakan: "Kami menyembah berhala". Lalu Allah swt menurunkan ke atas Rasulullah SAW Surah Al-Ikhlas yang bermaksud; “Katakanlah wahai Muhammad bahawa Allah itu Esa, Allah itu tempat bergantung segala makhlukNya, Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan dan Allah itu tiada bagiNya sekutu”.
6. Walaupun bahasa Melayu/Malaysia telah digunapakai oleh Penganut Kristian di Malaysia sekian lama tetapi asal perkataan Tuhan/God yang digunakan di dalam ”Original Bible” adalah dalam bahasa Ibrani (Hebrew). Oleh itu ianya harus di panggil sebagai Yahweh atau Yahuwa atau pelbagai lagi yang merujuk kepada Tuhan dalam Kristian dan bukannya Allah seperti di dalam bahasa Arab.  Ini adalah kerana perkataan Allah adalah daripada bahasa Arab yang digunapakai khusus di dalam Kitab Suci Umat Islam iaitu Al-Qur’an. Wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad (The last Prophet) iaitu Kalam Allah (Word of God) sehingga kepada proses penulisan Kitab Suci Al-Qur’an adalah juga di dalam Bahasa Arab. Sehingga kini dan di mana jua Kitab Suci Al-Qur’an berada ia masih tetap di dalam bahasa Arab.  Tetapi kitab Injil (Bible) mempunyai pelbagai versi dan juga bahasa yang menyebabkan berlaku ketidak seragaman penggunaan perkataan dan kekaburan mengenai konsep ketuhanan yang cuba mereka sampaikan.

7. Masyarakat Kristian tidak tahu nama sebenar tuhan mereka. Jika ditanyakan kepada penganut agama Kristian, maka pelbagai jawapan yang diberikan. Sebahagian akan merujuk kepada Jesus atau Yesus (Indonesia) sebagai Tuhan, sebahagian lagi merujuk kepada Jeremiah, atau kepada Yehuwa atau Yahweh atau Jehovah, dan segolongan lagi merujuk kepada Allah. Tidak terdapat satu pun istilah yang menepati dan merujuk kepada Tuhan di dalam Bible penganut Kristian. Jalan yang mudah adalah dengan menumpang guna nama Tuhan yang sering digunakan oleh masyarakat setempat, dan di dalam kes ini menumpang kalimah Allah yang dikhususkan kepada umat yang mengimani Allah S.W.T (Islam). Sesungguhnya kita boleh menghujahkan bahawa ketiadaan nama khas Tuhan di dalam Bible adalah bercanggah dengan sifat Tuhan yang Maha Mengetahui. Bukankah Tuhan mencipta manusia supaya dia mengenal dan menyembah-Nya? Tetapi siapakah yang disembah oleh manusia sekiranya dia tidak kenal siapa Tuhan yang menciptanya.

8. Konsep tuhan dalam agama Kristian adalah kabur, contohnya Jesus digambarkan sebagai salah satu tuhan dalam konsep Triniti yang mempunyai sifat-sifat manusia (contoh: Great Shepherd of the Sheep (Peter 5:4), King of Kings (Revelation 17:4), The Bridegroom (Luke 5:34-35), Chief Corner Stone, High Priest (Heb 7:26), etc.). Selain itu Jesus juga mempunyai sifat-sifat manusia yang sebenar seperti dilahirkan oleh Mary, berketurunan dari David (contoh: I’m the offspring of David - (Revelation 22:16). Sedangkan Allah di dalam Islam sebagaimana yang nyatakan di dalam Al-Qu’an , Surah Al-Ikhlas (112:1-5)  ”Katakanlah: Dialah Allah, Yang Maha Esa”. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada diperanakkan. Dan tidak seorangpun yang setara denganNya”. Jelas di sini bahawa ”Tuhan” Islam bukanlah ”Tuhan” Kristian. Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa yang kepada-Nya pengabdian wajib diserahkan, maha suci lagi maha murni yang nyata tiada taranya dengan khalayak makhluk-Nya. Allah tidak mungkin difahami sebagai memiliki anak atau bapa kerana itu akan memasukkan sifat benda bernyawa dalam kefahaman kita mengenai-Nya; sifat-sifat dan hakikat-Nya tunggal tersendiri dan tiada taranya.

9. Masyarakat Islam di seluruh dunia beribadat menggunakan bahasa Arab seperti di dalam Solat, membaca Al-Qur’an, berdoa dll dan bukan menggunakan terjemahannya seperti yang digunakan masyarakat Kristian. Seharusnya masyarakat Kristian menggunakan Bahasa Asal Kitab Injil (Bible) iaitu Ibrani (Hebrew) terutama dalam amalan agama. Dan terutama sekali penggunakan perkataan Tuhan iaitu Yahweh atau Yahuwa dan bukannya Allah. Dan sekiranya masyarakat Kristian Malaysia tetap  menegaskan bahawa masyarakat Arab-Kristian merujuk Tuhan mereka sebagai Allah, mengapa mereka tidak menggunakan terjemahan Bible di dalam bahasa Arab sahaja?


10. Dalam Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam 1998 menyatakan bahawa adalah satu kesalahan sekiranya terdapat mana-mana orang sama ada Islam atau Bukan Islam mengunakan kalimah Allah dalam memperihalkan kepercayaan sesuatu agama bukan Islam. Walaupun dikatakan ia diterbitkan dan diedarkan kepada hanya masyarakat Kristian tetapi maklumat ini juga boleh di akses melalui internet iaitu melalui  laman web Herald dan secara tidak langsung membuka ruang kepada masyarakat Islam untuk terdedah dengan maklumat tersebut.

Berasaskan perbincangan tersebut, membuktikan bahawa rujukan kalimah Allah yang digunapakai oleh para penganut selain Muslim adalah amat jauh berbeza dengan maksud kalimah Allah yang diyakini oleh Islam. Islam menegaskan ketauhidan Allah dan agama-agama lain mempunyai konsep yang berbeza iaitu keyakinan terhadap ketuhanan tuhan yang satu. Apabila disebut sebagai satu, pastinya ia dimulai dengan angka sifar dan dilanjutkan dengan angka yang seterusnya. Oleh itu adalah suatu yang tidak wajar sekiranya kalimah Allah ini digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa memahami realiti maksud kalimah tersebut yang merujuk kepada zat Allah yang agung dan Maha Esa. Analisis berhubung Surah Al-Ikhlas ini akan dibahaskan lebih mapan lagi dalam perbincangan selanjutnya.

Tuntasnya, kalimah Allah bukanlah satu kalimah yang sekadar menjadi sebutan atau seruan atau panggilan bagi tuhan semata-mata. Sebaliknya ia merupakan nama yang melambangkan aqidah atau agama bagi individu yang melafazkan kalimah tersebut. Oleh itu penggunaannya amat wajar dipantau dan dipelihara oleh kerajaan demi memastikan tiada sesiapa yang terkeliru dengan nama Allah Yang Maha Esa dan Yang Maha Agung. Justeru, keputusan kerajaan untuk mengekalkan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bukan Islam, sebagaimana yang telah diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Oktober dan 1 November 2006 adalah amat bertepatan dan tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Bahkan penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah telah pun diwartakan hanya eksklusif buat umat Muslim sahaja di bawah Warta PU (A) 15/82 dan pekeliling KKDN. S.59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986.

Namun, biarpun berbagai penjelasan dikemukakan, pihak gereja begitu tegas untuk terus menggunakan kalimah Allah ini. Antaranya yang telah turut lama menggunakan istilah Allah adalah Gereja Timur yang sering dikaitkan sebagai antara gereja yang menyakini unitarian iaitu Tuhan adalah satu. Justeru, sejauh mana benarnya penggunaan kalimah Allah dalam konsep unitarian tersebut dengan kalimah Allah dalam konsep Tauhid dalam Islam wajar diperhalusi secara ilmiah.

Untuk makluman terdapat satu lagi organisasi Kristian di Malaysia yang sama turut menfailkan tuntutan untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka iaitu Sidang Injil Borneo (SIB). Walaupun berlainan organisasi tetapi matlamat mereka adalah sama. Ia dijangka dibahas pada bulan Januari ini juga. Jika keputusan hakim tetap sama iaitu membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam rayuan yang dibuat oleh KDN pada hari ini (6 Januari 2010) maka akan lebih mudah masyarakat Islam terdedah dengan kekeliruan dan dakyah daridapa penerbitan agama Kristian terutama kepada masyarakat Islam yang tidak mempunyai ilmu agama dan akidah yang kuat."

Perenggan akhir tulisan di atas mendedahkan pemfailan tuntutan yang sama seperti Herald oleh Sidang Injil Borneo. Saya belum dapat mengesan berita tentang pemfailan baru ini. Harap para blogger dapat bekerjasama membongkarkan perkara ini.

Saya berharap rakan-rakan blogger sebarkan tulisan ini di dalam blog mereka untuk manfaat kita bersama.

Sementara ini, satu kempen tandatangan petisyen bantahan penggunaan kalimah Allah oleh "Herald" telah dimulakan oleh PPIM (beberapa blog telah pun mengedarkannya). Klik di sini untuk mengambil bahagian.

Monday, January 4, 2010

ISU KALIMAH ALLAH DI DALAM BIBLE BAHASA MALAYSIA: PANDANGAN SEORANG PENSYARAH ISLAM DAN SEORANG BLOGGER BUKAN ISLAM

Semakin hangat nampaknya isu keputusan lisan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lian, yang membenarkan akhbar Katolik "Herald" menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya.

Sehingga kini, sudah lebih dari 30 blogger (mungkin lebih dari itu sekarang) telah menulis tentang isu ini, yang menampakkan berbagai reaksi, dari penggunaan hujah yang bernas kepada menuntut jihad fisabilillah. Jika pembaca layari direktori blog seperti Penggabung Suara dan Spot The Bloggers, sebilangan besar tulisan bertumpu kepada isu ini.

Saya tidak berhasrat mengulangi hujah-hujah para blogger yang didapati baik dan bernas, walau pun ada yang menunjukkan emosi (mana tidaknya kerana ia menyentuh sensiviti umat Islam di negara ini yang majoriti penduduknya adalah orang Islam dan agama Islam mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan). Saya hanya mahu memetik pandangan
Penolong Profesor di Kulliyyah Undang-Undang UIA
, Dr Shamrahayu Abd Aziz, mengenai isu ini, yang saya jumpai di blog Penghuni Gua:
Di bawah adalah petikan pandangan saya yang disiarkan dalam rencana Utusan Malaysia pada 04.02.2009 untuk dikongsi bersama pembaca blog Tuan."....Realiti mengenai peri penting kestabilan sosial, terutamanya dalam perkara berkaitan agama ini harus ditanam dalam fikrah setiap ahli masyarakat.
Daripada segi undang-undang, Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam sebagai agama bagi negara ini di dalam peruntukan Perkara 3(1). Perkara itu turut menjamin kedudukan agama lain dengan formula " aman dan damai".  " Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan".
Formula " aman dan damai"   ini belum pernah ditafsir oleh mahkamah. Namun, daripada segi amalan, agama selain Islam tidak boleh diamalkan sekiranya ia mengganggu dan menggugat keadaan " aman dan damai"  masyarakat negara ini. Bahagian kedua Perkara 3(1) ini juga memberi pengertian bahawa, keharmonian dan toleransi antara agama perlu dititikberatkan supaya tidak menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.
Oleh itu, penggunaan perkataan 'Allah' oleh Herald Catholic boleh ditafsirkan sebagai menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini. Ia juga boleh mencemar formula " aman dan damai"  yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Merujuk kepada isu penggunaan perkataan 'Allah', kita perlu melihat aspek baik dan buruk hubungan antara penganut agama dalam formula " aman dan damai"  itu. Undang-undang, pada banyak ketika, tidak dapat menjadi penyelesaian kepada semua masalah terutama yang melibatkan emosi atau sensitiviti.
Contoh yang mudah, adakah kebenaran mahkamah untuk membenarkan suami berkahwin dengan isteri kedua dapat mengubat atau menjadi penawar kepada emosi isteri pertama yang amat terluka dengan tindakan suaminya? Paling baik pun, setelah terpaksa menerima keputusan mahkamah tersebut, isteri pertama harus meneruskan hidup bermadu dengan tangisan di dalam hatinya.
Ini dikatakan formula 'rela dalam paksa.' Formula 'rela dalam paksa' ini sudah pasti tidak akan menjamin kebahagiaan akan kekal lama. Begitulah juga gambaran yang dapat dibuat mengenai kesan daripada penggunaan perkataan 'Allah' oleh Herald Catholic. Selain Perlembagaan, undang-undang mengenai pengharaman penggunaan perkataan-perkataan yang suci dalam agama Islam telah lama wujud di dalam undang-undang di negeri-negeri.
Ia termaktub dalam peruntukan undang-undang berkaitan kawalan dan sekatan penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam yang selari dengan peruntukan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang ini adalah sebahagian daripada segmen perjanjian sosial antara kaum dan agama sewaktu proses mencapai kemerdekaan. Namun begitu, penguatkuasaan undang-undang tersebut masih belum begitu terserlah.
Undang-undang dan penguatkuasaannya mungkin bukanlah jalan terbaik atau jalan utama untuk menjamin keharmonian antara agama di negara kita, namun mempunyai undang-undang yang lengkap dan penguatkuasaan yang proaktif boleh mengawal selia hubungan baik antara agama. Sesungguhnya, sifat faham-memahami berhubung kepercayaan agama, adat resam dan keperluan setiap golongan masyarakat adalah jalan terbaik untuk mencapai keharmonian di negara ini. Sifat toleransi, seperti yang disebut adalah juga formula yang bergandingan dengan sifat faham-memahami antara satu sama lain. Sifat ini harus wujud dalam setiap jiwa dan raga rakyat."
(Shamrahayu A. Aziz)
UiTM

Jelas pandangan Dr Shamrahayu di atas memberi perspektif yang berbeza dari pandangan-pandangan sebelum ini. Ada dua perkara yang penting dalam pandangan beliau: (a) formula "aman dan damai" dalam penyelesaian masalah hubungan antara agama di negara ini, dan (b) wujudnya undang-undang di negeri-negeri dalam Malaysia yang mengharamkan penggunaan perkataan-perkataan yang suci dalam agama Islam.

Bukan tujuan penulis nak menghina Mahkamah atau Hakim yang membuat keputusan ini, tetapi ia mengundang soalan samada Hakim sedar atau tidak tentang perkara-perkara (a) dan (b) di atas. Tidak mungkin Hakim terlepas pandang sebab beliau seorang yang berilmu tinggi dan berpengalaman tentang undang-undang negara. Namun, sedarkah beliau bahawa keputusannya akan menyentuh sensitiviti orang Islam dengan mendalam? Jika kita ambil pandangan Dr Shamrahayu, tidakkah ia berpotensi menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini serta juga mencemar formula "aman dan damai" yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan?

Bukankah Islam diletak di bawah naungan dan kuasa Agong dan Raja-Raja? Dengan wujud undang-undang negeri yang mengharamkan penggunaan perkataan-perkataan yang suci dalam agama Islam (sudah tentu ini termasuk perkataan Allah), tidakkah keputusan Hakim tidak konsisten dengan undang-undang negeri? Mungkin Perlembagaan Persekutuan mendahului undang-undang negeri dalam isu ini, saya tidak pasti, tetapi bayangkan apakah yang akan berlaku jika negeri-negeri menggunakan kuasanya di bawah undang-undang masing-masing dan bertindak untuk tidak mengikuti keputusan Hakim ini?

Apabila formula "aman dan damai" diguna pakai, sudah tentu ia menyentuh soal akidah di kalangan penganut-penganut berbagai agama di negara ini. Bagi orang Islam, wujud potensi atau kebarangkalian bahawa penggunaan Allah dalam Bible versi BM boleh disalah guna oleh mubaligh Kristian untuk memesong akidah orang Islam. Keputusan ini membuka ruang seluas-luas peluang kepada gereja untuk menyebarkan dakyah mereka. Ia juga mewujudkan "precedent" dan membuka ruang kepada penganut Hindu, Buddha, Sikh dan lain-lain agama untuk turut menggunakan Allah dalam terjemahan kitab-kitab mereka ke dalam BM. Semua ini boleh mendatangkan berbagai persepsi atau sangkaan di kalangan orang Islam di negara yang seterusnya boleh mencetuskan berbagai reaksi yang tidak diingini.

Sedarkah Hakim akan kemungkinan-kemungkinan di atas semasa membuat keputusan? Sedarkah pihak gereja akan implikasi buruk dari usahanya? Memandangkan kesan keputusan ini, tidakkah Hakim sepatutnya menutup pintu atau ruang yang boleh disalah gunakan oleh mubaligh Kristian, demi menjaga keharmonian pelbagai kaum dan agama serta sensitiviti umat Islam di negara ini?


Setakat ini sebilangan besar reaksi terhadap isu ini datangnya dari orang Islam. Bagaimana pula reaksi orang bukan Islam? Di sini saya paparkan pandangan yang menarik yang dihasilkan oleh blogger Gopal Raj Kumar (baca di sini). 

Mengikut saudara Gopal, keputusan Hakim boleh dianggap keputusan yang provokatif, boleh menimbulkan perbalahan, boleh mengapi-apikan perasaan, dan boleh menimbulkan syak dan curiga (provocative, contentious, inflammatory and suspect). 

Selanjutnya, saya petik di bawah ini beberapa hujah beliau:
"Why does the Church seek to only use the word Allah which is both sinister and deceptive when applied particularly to Muslims from rural areas who could very easily be fooled into believing there is a nexus to Islam within the Church through its use of the word Allah? Why not the entire liturgy in Arabic from where the word Allah originates? Or perhaps the language of Malaysians Bahasa Malaysia?"
"What Catholics appear to be seeking here is an extension to that form of racism that whatever non Malays and non Muslims wish to do in the name of religion has to be tolerated in the name of a half written constitution. Whilst at the same time arguing against everything that the Malays as a majority in a democracy do as wrong and racist."
"There is a flawed perception that the constitution gives blanket freedoms to religious practices which it clearly does not do. The state always has residual powers in preservation of its sovereignty to amend or ignore."
(Baca tulisan beliau sepenuhnya di sini)