Pages

Saturday, October 22, 2011

PERPADUAN MELAYU-ISLAM: PERLUNYA KEMBALI KEPADA ASAS (AL-QUR'AN DAN SUNNAH)


Alhamdulillah, dengan izin Allah, Himpunan Sejuta Ummat (HIMPUN) akan diadakan pada jam 2.00 petang hari ini. Marilah kita bersama-sama merapatkan saf demi menyelamatkan aqidah umat Islam di negara tercinta ini. Menurut Al-Qur’an, menjaga agama adalah kewajipan nombor satu umat Islam. Perpaduan ummah adalah satu kewajipan agama semua umat Islam.


Apa yang penulis hendak sampaikan di sini bukanlah perkara baru, namun perlu diulangi memandangkan perpecahan Melayu-Islam di negara ini masih tiada jalan penyelesaian.

Kita sudah pun sedia maklum tentang perpecahan umat Islam di negara ini. Tidak terkecuali orang Islam yang prihatin dan para blogger Melayu-Islam dan umat Islam berbangsa lain serta para pengomen blog, telah menekankan perkara ini dalam tulisan-tulisan mereka, dan sebahagian mereka telah berkali-kali menyeru supaya orang Melayu-Islam bersatu sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Hari ini Melayu-Islam berpecah kepada tiga kumpulan mengikut fahaman politik: UMNO, PAS dan PKR. Akibat dari perpecahan ini, orang Melayu-Islam kehilangan 2/3 majoriti di Parlimen. Ini mencipta peluang bagi pembangkang untuk bergerak dan mula membuat tuntutan dan mencetuskan situasi di mana orang bukan-Melayu yang minoriti cuba bertindak sebagai majoriti terhadap orang Melayu/Bumiputra yang merupakan majoriti penduduk di negara ini. Kita sekarang telah terjerumus kepada situasi terbalik di mana orang bukan-Melayu sebagai minoriti dilihat mengawal penduduk majoriti iaitu Melayu. Orang Melayu cuba disekat pandangan mereka didengari yang mengakibatkan mereka mengalami kekecewaan, walau pun telah timbul beberapa pertubuhan seperti PERKASA (dengan pengikut yang cukup besar) dan NGO-NGO Melayu-Islam yang telah bangkit melawan hakisan hak-hak istimewa Melayu dan aqidah umat Islam di negara ini.


Dalam tulisan-tulisan penulis sebelum ini tentang sejarah Islam dalam bulan Ramadan, telah ditekankan bahawa sebab perpecahan umat Islam di dunia ini adalah kerana tidak berlandaskan, atau tidak kembali kepada, Al-Qur'an dan Sunnah. Memang diakui, kebanyakan alim ulama dan orang-orang berpengetahuan sedar tentang perkara ini, namun mereka jauh sekali mahu mengikuti atau melaksanakannya. Oleh itu, penulis terpanggil untuk mengalih perhatian kembali kepada nas-nas Al-Qu'ran dan Sunnah tentang tuntutan Allah dan Rasulullah ke atas perpaduan umat Islam. Apabila kita menghadapi kesukaran, kita perlu kembali kepada asas (back to basic). Maksudnya, dalam menghadapi perpecahan ummah, kita perlu kembali kepada asas iaitu Al-Qu'ran dan Sunnah.


Di dalam Al-Qur’an, Allah menyuruh orang-orang beriman supaya bersatu, menyertai barisan dalam keimanan terhadap penafian dan kekufuran, mengambil berat dan menunjukkan kasih sayang antara satu sama lain sebagai saudara, menjadi pemaaf dan perlindung dan berdiri teguh dan kuat dalam mengelakkan pemecahan, pembahagian dan penyebaran.

Berikut adalah antara ayat-ayat Al-Qu'ran penting yang berkaitan dengan perpaduan umat Islam. Allah berfirman:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Al ‘Imran, 103)
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Surah Al-Hujurat, 10)
Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (Surah Al-Anfaal, 46)
Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar. (Surah Al-Anfaal, 73)
Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak melampaui batas). (Surah Ash-Shura, 39)
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (Surah Ass-Saff, 4)
Berikut adalah antara hadis-hadis Rasulullah s.a.w. penting yang berkaitan dengan perpaduan umat Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan Muslim yang lain. Dia tidak boleh menganiayainya dan tidak boleh menyerahkannya (kepada musuhnya)..." (Muttafak 'alaihi).

“Perbandingan orang-orang yang beriman tentang perasaan kasih sayang, berbelas kasihan dan bersimpati mereka adalah seperti satu tubuh badan, sekiranya salah satu daripadanya mengadu sakit, maka bersahut-sahutanlah lain-lain anggota kepadanya dengan tidak dapat tidur dan demam selesma”
(Riwayat Bukhari).

"Hubungan orang mukmin dengan orang mukmin yang lain, adalah seperti sebuah binaan, yang saling kuat menguatkan antara satu sama lain"
(Al Thabrani)

” …Ya!, Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku, amal yang akan memasukkan aku ke dalam syurga. Maka sabda Rasulullah s.a.w: ‘Engkau beribadah kepada Allah S.W.T dan tidak menasyrikkannya dengan sesuatu, mendirikan solat, membayar zakat dan menghubungkan persaudaraan.’”
(Al-Ansari)
Sejarah Islam tatakala Kerajaan Medina ditubuhkan menunjukkan usaha Rasulullah s.a.w memperteguhkan kewajipan memelihara hubungan persaudaraan yang menjana kepada perpaduan dan kesatuan ummah. Nabi Muhammad s.a.w.  juga mengambil langkah mempersaudarakan umat Islam menerusi ikatan ukhwah sesama Islam. Kaum Aus dan Khazraj yang sedemikian lama bersengketa telah telah berjaya didamaikan. Persefahaman ini mampu dipatuhi oleh semua ahli masyarakat tanpa membezakan kaum, bangsa dan agama. Mereka bersama-sama berganding bahu mentaatainya sebagai langkah membentuk kesatuan ummah dan perpaduan kaum di Madinah.


Malah kewajipan mengusahakan perdamaian di kalangan umat Islam tidak kurang darjatnya dari ibadat-ibadat utama seperti sembahyang, seperti yang dinyatakan dalam berberapa hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Mahukah aku memberitahu kamu amalan yang lebih afdal dari sembahyang, puasa dan sedekah, iaitu mendamaikan antara dua golongan yang bersengketa; kerana kerosakan hubungan di kalangan umat Islam boleh membinasakan."

"Jemaah itu adalah rahmat dan perpaduan itu adalah azab, sesiapa yang memecahkan perpaduan, maka ia bukanlah dari golongan kita."

"Pertolongan Allah adalah berada bersama jemaah (kumpulan terbesar)."

"Janganlah kamu bersengketa; kerana umat sebelum kamu telah bersengketa lalu mereka binasa."

Kata-kata hikmat daripada Saidina Hasan bin Ali R.A ketika menyeru pengikut-pengikutnya bersatu di bawah kepimpinan Muawiyah, boleh dijadikan bahan renungan: "Sesungguhnya apa yang kamu sekelian tidak suka dalam berjemaah (bersatu) adalah lebih baik dari apa yang kamu suka dalam berpecah."

"Sesiapa di kalangan kamu yang hidup lama akan menyaksi perbezaan pendapat (khilaf) yg banyak, maka berpeganglah kepada Sunnahku dan sunnah Khalifah Arroshideen dan gigitlah dengan gigi gerahammu dan jangan berpecah."
Dari ayat-ayat di atas dan dari Al-Qur’an secara keseluruhannya, serta sabda-sabda Rasulullah s.a.w., boleh dirumuskan bahawa adalah menjadi satu kewajipan agama bagi umat Islam untuk:

1. Bersatu padu;


2. Terikat antara satu sama lain sebagai saudara dalam perasaan kasih sayang;


3. Mengelakkan pertikaian;


4. Menjadi sahabat dan penjaga antara satu sama lain;


5. Melindungi dan mengawasi antara satu sama lain di dalam semua keadaan;


6. Nasihat-menasihati satu sama lain;


7. Melibatkan diri dalam perjuangan intelektual menentang penafian dan kekufuran - perjuangan yang terikat dengan ketat antara satu sama lain seperti batu-bata sebuah bangunan;


8. Menyedari bahawa Islam adalah agama bersifat universal yang menyeru kepada perdamaian, perpaduan dan persaudaraan bagi memastikan umatnya kuat dan bermaruah.

Oleh itu, umat Islam wajib mengelakkan perkara-perkara yang bertentangan, dalam erti kata lain:

1. Memecah-belahkan, bukan menyatukan;


2. Tidak menunjukkan kasih sayang terhadap saudara seagama;


3. Tidak menunjukkan sifat pemaaf, pelindung dan prihatin terhadap saudara seagama; dan


4. Tidak terikat kepada perjuangan intelektual menentang penafian dan kekufuran, yang merupakan satu dosa besar.
Dari Abu Bakrah (Nufa'i) bin al Harits ats Tsaqafy berkata: Rasulullah saw bersabda, "Apabila dua orang Muslim berhadapan dengan pedang masing-masing maka pembunuh dan terbunuh keduanya sama-sama masuk neraka. Abu Bakrah bertanya, "Ya Rasulullah, yang membunuh jelas masuk neraka tetapi mengapa yang terbunuh juga demikian? Rasulullah saw menjawab, "Karena ia juga memiliki niat sungguh-sungguh akan membunuh lawannya." (Bukhari - Muslim)
Jika dunia Islam mahu mendirikan tamadun yang kuat, stabil dan makmur yang boleh memandu dan menerangi dunia dalam setiap aspek, ia mesti bertindak dalam kesatuan. Ketiadaan kesatuan sedemikianlah yang bertanggungjawab dalam mewujudkan keadaan dunia Islam sekarang - perpecahan dan pemisahan, ketiadaan suara yang bersatu, dan ketidakupayaan mempertahankan diri. Tidak terkira banyaknya bilangan wanita, kanak-kanak dan orang tua yang lemah dan tidak berupaya yang sangat-sangat memerlukan penyelamat dari penindasan di Palestin, Kashmir, Turkestan Timur (wilayah orang Islam Uighur yang diperintah oleh negara Cina), selatan Filipina (wilayah orang Islam Moro) dan lain-lain wilayah. Mereka adalah tanggungjawab utama dunia Islam. Umat Islam tidak seharusnya lupa sabda Rasulullah saw:
"Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan Muslim yang lain. Dia tidak boleh menganiayainya dan tidak boleh menyerahkannya (kepada musuhnya)..." (Muttafak 'alaihi)
Hakikat bahawa umat Islam tidak mampu mewujudkan satu Kesatuan Islam yang kuat dan aktif adalah penyumbang utama kepada banyak gejala buruk yang melanda mereka hari ini. Apabila Kesatuan Islam yang kukuh dibentuk, masalah itu sama ada tidak akan timbul atau setidak-tidaknya akan diselesaikan jauh lebih cepat daripada yang dijangkakan.

Memang diakui telah wujud budaya, tradisi dan konsepsi yang berbeza di dalam dunia Islam. Namun apa yang perlu dilakukan adalah kepelbagaian ini mesti disatukan di bawah payung keimanan dan atas dasar toleransi dan perpaduan bersama. Perbezaan pemikiran, amalan atau pandangan adalah perkara biasa dalam semua masyarakat. Prinsip moral Islam memerlukan umat Islam tidak melupakan bahawa mereka semua adalah bersaudara, tidak kira apa atau sejauh mana perbezaan mereka. Apa jua bangsa, bahasa, negara, atau cawangan/mazhab Islam yang diikuti, semua umat Islam adalah saudara seagama. Oleh itu, perbezaan seperti ini mesti dihargai sebagai sumber kekayaan dan bukannya sebagai sumber konflik dan pemecahan. Pandangan perbezaan ini sebagai sumber konflik dan pemecahan adalah suatu kesilapan besar yang hanya mengalihkan perhatian daripada isu-isu sebenar dan melewatkan tindakan pencegahan yang penting dan yang diperlukan dengan segera.

Dalam hubungan sesama Muslim, iman dan akhlak yang baik adalah penting, bukannya bangsa, asal usul kaum, bahasa, sumber kewangan, atau status. Perasaan kasih sayang antara orang-orang beriman yang ikhlas dibangunkan melalui ketakwaan, kesedaran dan cinta sejati terhadap Allah, serta amalan dan akhlak yang baik. Jika mereka mendedikasikan diri mereka kepada jalan Allah, mengikutinya dalam semua tindakan dan tingkah laku mereka, dan berbuat baik dengan harapan memperolehi keredaan dan rahmat Allah, orang-orang beriman lain akan mengasihi dan menghormati mereka. Hasilnya, warna kulit, bangsa, atau status kewangan akan menjadi tidak relevan dan tidak mempunyai kaitan dengan perasaan kasih sayang orang lain terhadap mereka. Kriteria yang sama adalah benar bagi hubungan antara negara-negara Islam, yang mesti berdasarkan kepada pandangan Al-Qur'an dan Sunnah.

Jika situasi atau isu tertentu menghalang mereka daripada berbuat demikian, mereka perlu mempertimbangkan soalan-soalan berikut:

1. "Adakah isu ini lebih penting daripada perpaduan umat Islam?"


2. "Adakah ia di luar penyelesaian?"


3. "Adakah mereka sanggup menerima pertikaian sesama sendiri dan dengan masyarakat Muslim yang lain daripada bekerja menyatukan ummah dan menentang ideologi tidak beragama?"

Setiap orang yang menjawab soalan-soalan ini dengan hemat akan tahu bahawa keutamaan yang lebih tinggi adalah mengelak daripada pertikaian yang tidak berkesudahan dan menubuhkan sebuah kesatuan yang berdasarkan nilai-nilai Al-Quran.

Dunia Islam perlu mengetepikan pertikaian mereka dan mengingati bahawa semua umat Islam adalah  "adik-beradik" atau "saudara seagama" supaya ia dapat melahirkan satu “role model” yang mencerminkan sifat sebenar Islam dan ideal-idealnya. Perpaduan orang-orang beriman ini adalah hadiah dan rahmat Allah. Umat Islam yang ikhlas perlu bersyukur ke atas rahmat yang Allah berikan dan taat kepada perintah-Nya supaya tidak berpecah.

Umat Islam di negara ini perlulah kembali berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah supaya tidak tersesat seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.:

"Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw."
Tidak mengikuti Al-Quran dan Sunnah bermakna kita mengengkarinya. Mahukah kita berbuat demikian? Setiap huruf Al-Quran datang terus dari Allah pencipta sekelian manusia. Apakah pilihan yang kita ada selain dari mentaati perintah Allah dan Rasulnya?

No comments:

Post a Comment

Please adhere to proper blog etiquette when posting your comments. This blog owner will exercise his absolution discretion in allowing or rejecting any comments that are deemed seditious, defamatory, libelous, racist, vulgar, insulting, and other remarks that exhibit similar characteristics. If you insist on using anonymous comments, please write your name or other IDs at the end of your message.