Pages

Wednesday, 8 September 2010

SELAMAT HARI RAYA - SAMBUTLAH DENGAN TAKBIR DAN TAHMID


KEPADA RAKAN-RAKAN BLOGGER DAN MUSLIMIN & MUSLIMAT


Umat Islam digalakkan menyambut hari raya "Aidilfitri dan "Aidiladha" dengan takbir dan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah pada hari baik dan bulan baik tersebut. Allah berfirman:

 " ... Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan takbir dan tahmid) kerana mendapat pertunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur."  (Surah Al-Baqarah, Ayat 185)

"Hari Raya Aidil Fitri" yang juga terkenal dengan nama "Hari Raya Puasa" disyariatkan oleh Allah Taala untuk umat Islam merayakannya dengan penuh kesyukuran dan dengan pelbagai jenis amal bakti yang diredhaiNya. Kalimah 'Id' (hari raya) dalam bahasa Arab berasal dari perkataan 'Aud' ertinya yang berulang-ulang. Yakni peristiwa yang berulang-ulang pada tiap-tiap tahun yang membawa rahmat dan menggembirakan umat Islam.

Kemuliaan "Hari Raya Aidil Fitri" diterangkan di dalam Al-Qur'an seperti yang tertera di atas dan juga diterangkan di dalam hadith-hadith berikut:

Dari Abu Umamah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: " Barang siapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang-orang yang kufur ingkar) pada hari itu."  (Riwayat Ibn Majah)

Hadith ini menggambarkan bahawa pada hari kiamat kelak, orang-orang yang beriman dan beramal soleh, hatinya hidup (bahagia dan gembira) kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredhaan Allah Azza wa Jalla.

Sebaliknya orang-orang yang kufur ingkar, hatinya mati (hampa dan kecewa) pada hari itu, kerana dimurkai Allah dan ditimpakan dengan seburuk-buruk balasan.

" Barang siapa menghayati malam hari raya Aidilfitri dan malam hari raya Aidiladha dengan amal ibadat, sedang ia mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kufur ingkar) pada hari itu."  (Riwayat Tabrani)

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: " Hiasilah hari-hari raya kamu dengan takbir."  (Riwayat Tabrani)

Dari Anas r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: " Hiasilah kedua-dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis."  (Riwayat Abu Nu'aim)

Menurut huraian ulama' rahimahullah, takbir hari raya - Aidilfitri dan Aidiladha - hukumnya sunat dan lafaznya yang lengkap adalah seperti berikut:

Takbir Raya
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah jualah yang Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah jualah segala pujian.
Allah Maha Besar dengan segala kebesaran-Nya, segala puji tertentu bagi Allah tidak terhingga banyaknya, Maha Suci Allah pada tiap-tiap pagi dan petangnya. Tiada Tuhan melainkan Allah dan kami tidak menyembah melainkan Dia semata-mata dengan mengikhlaskan ibadat kepadanya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.
Tiada Tuhan melainkan Allah Maha Esa, amatlah benar dan tepat janji-Nya, ia telah memenangkan hambanya (Nabi Muhammad s.a.w.), ia juga telah menguatkan tentera-Nya dan Dialah jua yang telah mengalahkan musuh-musuh Islam yang bergabung dan berbagai-bagai golongan, tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.

[Sumber: Islam Grid]

1 comment:

  1. Salam Sejahtera Tuan,

    Kami di Satu Sekolah Untuk Semua (SSS) amat berbangga dan berterima kasih di atas sokongan Tuan dengan memaparkan logo SSS di laman citra Tuan sebagai tanda sokongan.

    Laman citra Tuan adalah kini tersenarai di senarai e-Patriot kami.

    Sekian, terima kasih.

    "SATU BAHASA, SATU BANGSA, SATU NEGARA"

    ReplyDelete

Please adhere to proper blog etiquette when posting your comments. This blog owner will exercise his absolution discretion in allowing or rejecting any comments that are deemed seditious, defamatory, libelous, racist, vulgar, insulting, and other remarks that exhibit similar characteristics. If you insist on using anonymous comments, please write your name or other IDs at the end of your message.