Sudah lama tidak menulis di blog saya, kerana sibuk dengan tugasan dan kemudian jatuh sakit pula. Saya masih berehat dan belum bersedia menulis, tetapi satu isu yang timbul telah menarik perhatian saya dan mendorong saya menulis oleh kerana saya memandang isu ini sebagai sesuatu yang amat serius.
Isu ini adalah ikrar lafaz talik yang diguna pakai oleh PAS dan berbunyi: "Barangsiapa sahaja calon pilihanraya PAS yang dipilih untuk bertanding didalam Pilihanraya Kecil atau Pilihanraya Umum samada untuk jawatan ADUN atau Ahli Parlimen dibawah tiket PAS, maka mereka terlebih dahulu diwajibkan menandatangani ikrar lafaz taklik akan menceraikan isteri jatuh talak tiga SEANDAINYA mereka setelah menang pilihanraya tersebut mengelat mengkhianati PAS dan lompat ke parti lawan."
Ikrar ini mula didedahkan oleh blog Unspinners pada 4 Sept 09 dan diulangi pada 28 Sept 09 dan hari ini setelah blog Mahaguru58 turut melaporkannya ekoran majlis dialog beliau dan beberapa blogger dengan Dato' Dr. Hassan Ali dan Uztaz Nasharuddin. Blog-blog lain yang juga melaporkannya termasuk Al-Banjari, Cekati Tembaga, Neutral Daily, dan Dimensi. Heboh juga jadinya isu ini dan dilaporkan Dato' Hassan berhadapan dengan tindakan disiplin ekoran kewujudan pita rakaman video majlis dialog tersebut. Neutral Daily, di dalam post terbarunya di sini, menimbulkan soal amanah.
Dengan pendedahan ikrar "special" PAS ini, maka terjawablah soalan mengapa Wakil Rakyat dan ADUN PAS tidak pernah (atau tidak berani) keluar parti dan lompat ke parti lain semenjak PRU 2008. Yang keluar dan lompat parti terdiri dari ahli-ahli PKR dan DAP.
Bab agama ni penulis tidaklah begitu arif sangat dan eloklah rasanya pihak berkuasa agama tampil ke hadapan untuk memberi penjelasan. Ini disebabkan ikrar seperti ini boleh membawa kesan buruk kepada kedudukan rumah tangga orang-orang yang terlibat. Setahu saya, bila sebut cerai, ia mestilah ada pangkalnya iaitu nikah. Tiada nikah, tiada cerai. Penceraian tidak boleh berlaku jika tiada pernikahan. Jadi kita kenalah rujuk kepada apa yang diwajibkan semasa nikah di mana lafaz taklik diwajibkan oleh pengantin lelaki.
Di Malaysia, taklik terbahagi kepada dua iaitu (1) taklik yang dilafazkan oleh suami dengan pilihannya sendiri, dan (2) taklik yang telah ditetapkan oleh undang-undang tanpa kehendak suami. Lafaz taklik yang kedua inilah yang biasa dibuat selepas akad nikah (ijab kabul) oleh pengantin lelaki. Walau pun setiap negeri mempunyai lafaz taklik masing-masing, umumnya ia mengandungi syarat-syarat yang sama untuk berlakunya taklik (gugurnya talak). Contohnya, di Selangor lafaz taklik berbunyi:
“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.”Jika diperhatikan lafaz di atas, talak satu digugurkan jika (1) suami meninggalkan isteri dengan sengaja dalam tempoh empat bulan berturut-turut tanpa nafkah, dan (2) melakukan kemudaratan fizikal dan mental. Itu pun jika isteri melapurkan kepada mahkamah dan mahkamah mendapati dakwaan itu benar. Tambahan pula, lafaz taklik tidak boleh ditarik balik, dan kuasa untuk membuat lafaz itu hanya ada pada suami.
Jika dikaitkan keterangan di atas dengan ikrar lafaz taklik PAS, timbul berbagai soalan:
- Di manakah kaitannya penggugoran talak seperti yang termaktub dalam undang-undang di atas, dengan penggugoran talak kerana "mengkhianati parti dan lompat ke parti lain selepas menang pilihanraya" seperti yang terkandung di dalam ikrar PAS?
- Adakah syarat "mengkhianati part dan lompat parti" terkandung di dalam lafaz taklik yang biasa dibuat oleh suami selepas akad nikah? Jika tidak, adakah ikrar PAS itu sah di sisi undang-undang?
- Adakah syarat "mengkhianati part dan lompat parti" berdasarkan "fatwa" atau "undang-undang" PAS sendiri yang kita tidak ketahui? Jika benar, tidakkah "fatwa" itu bertentangan dengan undang-undang Islam negara yang sedia ada?
- Adakah calon-calon pilihanraya PAS sedar tentang hukum hakam nikah-cerai apabila mereka menandatangani ikrar parti itu? Jika sedar, tidakkah mereka tahu bahawa ia boleh mendatangkan penganyiaian terhadap isteri-isteri mereka? Jika berlaku paksaan dan mereka menandatangani ikrar tanpa rela dan niat untuk mencerai isteri, adakah ikrar itu masih sah?
- Siapakah sebenarnya yang melahirkan idea ikrar ini? Siapa dalangnya? Jika pencetusnya adalah orang dalam PAS, tidakkah mereka sedar bahawa ia boleh menghancurkan rumah tangga ahli-ahli mereka sendiri? Tergamakkah mereka berbuat demikian hanya kerana kuasa politik?